Saturday, February 22, 2014

A Nation Deleted Part 5

Mula - mula sekali aku ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke 30. Maknanya telah masuk tiga puluh tahun negara kita dilepaskan dari bawah ketiak British.

Nampaknya, negara kita sudah menjadi negara berpemerintahan kuku besi. Keupayaan bersuara yang dari dulu memang seakan tidak wujud, kini dibebankan pula dengan termaktubnya hukuman bagi orang - orang yang mempersoalkan dan mengkritik rejim pemerintah yang menjadikan Islam sebagai 'mukadimah'. Dalam erti kata lain, mereka boleh buat sesuka hati mereka terhadap penduduk negara ini, tidak kira Islam atau pun bukan. Sudah aku perkatakan sejak bertahun lamanya, bahawa rejim pemerintahan dan kroni mereka adalah kebal dari undang - undang. Belum pun kita sunyi sepi dari membincangkan tentang kesan penguatkuasaan hukum jenayah kanun Syariah ini, rakyat Brunei dikejutkan lagi dengan satu warta yang ditulis oleh seorang lelaki yang hanya dikenali dengan nama samaran "Jaya" di Borneo Bulletin. Dalam tulisanya, orang tersebut menganjurkan supaya wanita - wanita Islam di negara ini hanya dibolehkan memandu jika ada seorang pendamping mahramnya. Individu bernama "Jaya" ini juga mencemuh anak muda yang dikatakan telah dipengaruhi oleh budaya Barat ditahap melampau, mendengar muzik alunan penyanyi - penyanyi dari Barat yang menjalani kehidupan tanpa batasan.

Ramai yang meluahkan rasa kesal dan tidak puas hati berikutan isi kandungan surat pada penyunting yang disifatkan sebagai provokatif dan berkontroversi. Tidak kurang juga yang menyatakan bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk berbuat demikian dan hanya individu yang tidak bertanggungjawab sahaja yang akan muncul dengan anjuran sebegitu.

Akan tetapi, ada seorang individu yang mendakwa dirinya muallaf berketurunan Cina memberikan kata - kata yang menyengat lagi berbisa, sambil memperli orang - orang Brunei dengan maksud lebih kurang "kenapa bila tiba hal yang melibatkan wanita, kamu semu hiruk pikuk, ikut sajalah undang - undang Syariah sepertimana yang sering kamu banggakan!". Berikut adalah screenshot dari perbualan antara lelaki tersebut yang berhasil diperolehi sebelum Brunei fm menghapus gambar yang dikongsikan dari Bruneiusedcar.com.

Antara perbualan yang sempat dirakam
Individu yang menggunakan nama William Lim ini juga tegar mencabar seorang pengguna Facebook untuk membunuh anggota polis menggunakan pisau, dan mengatakan bahawa dia lebih berani dari lelaki tersebut.

Jadi, apakah punca lelaki tersebut berkata sedemikian? Berdasarkan kata - katanya, berkemungkinan dia ini telah lama menjadi mangsa cemuhan dan hinaan dari orang - orang Melayu kita. Salah satu perkara yang menjadi paksi utama kemarahan Lim ini berpunca dari komen sesetengah orang Brunei yang acap kali mengatakan "kalau inda suka Brunei tinggal tempat lain". Memandangkan dia bukan berbangsa Melayu, kata - kata sedemikian mengundang rasa marah yang berbaur perkauman. Tidaklah menghairankan jika para pembaca sekalian adalah orang Brunei sendiri kerana sebilangan besar rakyat Melayu Brunei memang "racist" dan sering memangsakan bangsa - bangsa lain untuk dijadikan bahan gurauan. Aku tidak menyokong kata - kata ancaman Lim ini, kerana ancaman atau ugutan yang tegar akan dikira sebagai jenayah jika pengugut berniat untuk melaksanakan ancaman, terutama ancaman yang melibatkan kehilangan nyawa seperti membunuh. Cuma apa yang kita perlu fahami ialah kenapa Lim terdorong untuk meluahkan kata - kata nekad seperti diatas. Ini semua berpunca dari perangai dan tabiat orang - orang Melayu Brunei kita yang pentingkan diri sendiri, singkat fikiran, dan terlalu taksub dengan rejim pemerintah sehingga sanggup menagguk di air yang keruh dengan menimbulkan tohmahan bercirikan perkauman. Tanyalah diri masing - masing; siapakah yang membina jalan raya, mengangkat sampah, menjadi pelayan - pelayan restoran, menjadi pembantu rumah dan tukang kebun, peniaga - peniaga kedai runcit dan pasaraya; sudah pasti lebih 80 peratus adalah warga asing yang kebanyakanya bukan berugama Islam. Bayangkan apa yang terjadi pada negeri ini jika pekerja luar kembali ke tanah air masing - masing, siapakah yang akan menyiapkan jembatan, membina bangunan, menjaga anak - anak kita sewaktu kita sedang sibuk bekerja? Adakah orang Melayu Brunei yang sanggup berjerih payah, kais pagi makan pagi, dan hidup susah?

Apabila aku cuba untuk membaca semula post tersebut, Brunei fm telah berjaya menghapuskanya memandangkan penerimaan orang ramai yang rata - rata cukup negatif. URL asal post tersebut adalah: https://www.facebook.com/BruneiXS/posts/411962168948311. Setelah pencarian gagal, aku hanya melihat makluman berikut terpapar pada skrin komputer ku.

404 lol
Nampak gayanya, semakin ramai orang yang berasa marah dengan perkembangan terbaru di negara yang tidak diketahui ramai ini.
Sama - samalah kita bermuhasabah diri. Kembangkan daya pemikiran. Jangan biarkan rejim pemerintah melakukan pemikiran dan kamu hanya tahu mengulang apa yang mereka katakan. Berfikirlah kerana berfikir itu percuma; bukankah orang Brunei suka segalanya percuma?

Keanu Reeves lagi faham...

No comments:

Post a Comment